IDTODAY NEWS – Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau mempertahankan hak kebebasan bersuara tetapi menambah bahawa ia “bukanlah tanpa had” dan tidak patut “secara sewenang-wenangnya dan tanpa keperluan menyakiti” masyarakat tertentu.

“Kita akan sentiasa mempertahankan kebebasan berucap,” kata Encik Trudeau, ketika menjawab pertanyaan mengenai hak menunjukkan karikatur Nabi Muhammad, seperti yang dilakukan majalah Charlie Hebdo.

“Tetapi kebebasan berucap bukanlah tanpa had. Kita perlu gunakan hak ini untuk mempunyai sikap hormat untuk orang lain dan tidak sewenang-wenangnya atau tanpa tujuan menyakiti sesiapa yang hidup dalam masyarakat atau planet yang sama.

“Contohnya, kita tiada hak untuk tiba-tiba menjerit bahawa wujud kebakaran ketika berada dalam panggung wayang yang dipenuhi orang, justeru had sentiasa ada,” katanya.

Mengambil pendirian berbeza daripada Presiden Perancis, Emmanuel Macron, Encik Trudeau meminta orang ramai untuk menggunakan hak kebebasan berucap dengan berhati-hati.

“Dalam masyarakat majmuk, rencam dan saling menghormati ini, kita mempunyai tanggungjawab untuk sentiasa berjaga-jaga terhadap setiap perkataan yang digunakan dan tindakan membabitkan orang lain.

“Khususnya terhadap masyarakat dan penduduk yang masih berdepan diskriminasi meluas,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata masyarakat bersedia untuk satu perbahasan awam mengenai isu-isu ini, “bagi mengadakan perbualan rumit ini secara bertangunggjawab.”

Tinggalkan Komentar

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *

Iklan